menarik untuk manfaat air laut..
Khazanah Laut Dan Pantai Untuk Kesihatan (Siri 1)
- By : Rumiza
- Category : Uncategorized
Aktiviti rekreasi pantai serta laut adalah menyeronokkan, baik untuk golongan dewasa juga kanak-kanak. Kesan kulit terbakar akibat berjemur seharian adalah perkara yang biasanya disesali sesudah pulang daripada beraktiviti, dan anda tidak perlu risau dengan masalah “kecil” ini. Ini kerana ia tidak dapat mengatasi banyaknya kebaikan yang diperolehi daripada rekreasi tersebut.
Antara kebaikan daripada sudut kesihatan melalui aktiviti laut dan pantai adalah membantu merawat jerawat, melicinkan kulit, merawat kelemumur dan menguatkan otak. Pergi ke pantai adalah seperti pergi ke spa!!! Malahan terlalu banyak manfaat yang bakal anda perolehi.
AIR LAUT
Natrium klorida adalah garam yang paling bertanggungjawab untuk kemasinan air laut dan cecair untuk kebanyakan sel-sel organisma. Komposisi badan kita adalah kira-kira dua pertiga air dan satu-satunya mineral yang boleh dihadam oleh tubuh badan adalah garam. Sistem badan kita juga mempunyai unsur-unsur air laut.
Ayuh kita teliti apakah manfaat yang boleh diperolehi daripada air laut.
- Membersihkan kulit, merawat jerawat dan parut
Garam adalah bahan pengawet dan agen pembersih yang sangat baik yang telah digunakan untuk beribu-ribu tahun lamanya. Natrium klorida yang terkandung di dalam air laut dapat membantu membersihkan kulit dan efektif untuk jerawat sederhana. Ia juga merupakan rawatan mujarab untuk parut separa kekal. Ini berbeza daripada penggunaan bahan kimia yang terdapat di pasaran, yang boleh mengakibatkan kerosakan liang-liang kulit dan menyebabkan parut.
- Menyembuhkan sakit kulit
Kepada yang mengalami kegatalan kulit, luka dan kudis di badan, anda adalah disaran untuk pergi ke laut sebagai salah satu cara penyembuhan. Air bergaram menyahkan toksin asing, mengeringkan nanah pada luka serta cepat menyembuhkan masalah kulit tersebut. Itulah sebabnya kita sering disyorkan untuk berkumur dengan air garam. Menyentuh air garam buat pertama kali adalah agak memedihkan tetapi lama-kelamaan rasa pedih akan berkurangan.
- Membersihkan kulit kepala
Air masin merupakan syampu semula jadi yang efektif terutama kepada anda yang mengalami masalah kulit kepala berminyak. Ia membersih minyak dari kulit kepala, juga menghilangkan bahan kimia bagi mereka yang kerap bertukar-tukar produk penjagaan rambut. Bahkan air masin boleh menghilangkan kelemumur kerana ia bertindak sebagai ejen pengelupasan yang membuang sel-sel mati dari permukaan kulit kepala. Juga ia membantu pertumbuhan rambut baru!!!
- Melancarkan pernafasan
Air laut membantu melancarkan saluran hidung dan pernafasan terutama bagi mereka yang mengalami masalah hidung tersumbat. Ia mengeluarkan mukus berlebihan. Bagi anda yang tidak mengalami masalah ini, anda juga dapat merasakan perbezaan kelancaran pernafasan selepas mandi laut.
- Meningkatkan kecergasan
Berenang di laut membantu kita kekal cergas kerana otot-otot di bahu, lengan dan kaki digunakan untuk berenang. Ia mempercepatkan proses pembakaran kalori yang bagus untuk mengurangkan berat badan. Walaupun anda duduk bersantai di gigi air melawan ombak laut menghempas pantai, ia juga dapat menggerakkan otot serta memperbaiki keseimbangan badan.
Mari kita saling memperingatkan tentang firman Allah di dalam Surah Al-Jathiyah, ayat 12 mengaitkan perihal laut, rezeki dan syukur;
اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.